Saturday, July 5, 2008

Anak saudara dakwa Balasubramaniam, keluarga hilang sejak semalam


R. KUMARESAN (dua dari kiri) dan peguamnya, N. Surendran (tengah) melihat salinan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur petang tadi. Mereka diiringi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua (tiga dari kanan). - foto The Star oleh CHAN TAK KONG



KUALA LUMPUR: Penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang terlibat dalam kontroversi akuan bersumpah berkaitan kes pembunuhan rakyat Mongolia Altantuya Shaariibu, dilaporkan hilang sejak semalam bersama isteri dan tiga anaknya.

Anak saudara Balasubramaniam, R. Kumaresan, 27, yang diiringi peguam N. Surendran membuat laporan polis mengenai kehilangan bapa saudara dan keluarganya di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini pada pukul 5 petang.

Kumaresan berkata, beliau gagal menghubungi bapa saudaranya selepas Balasubramaniam mengadakan sidang media di sebuah hotel di sini pagi semalam.

"Saya cuba menghubungi pakcik hampir 10 kali tetapi gagal. Akhirnya pada pukul 6 petang semalam, saya membuat keputusan untuk ke rumahnya dan mendapati kereta milik Bala ada. Namun tiada siapa di rumahnya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Beliau berkata, tujuannya membuat laporan polis itu kerana bimbang keselamatan Balasubramaniam dan keluarganya, terutama keselamatan isterinya dan anak-anaknya, dua lelaki dan seorang perempuan yang berumur 5 hingga 11 tahun.

"Sebelum ini mereka tak pernah buat hal (hilang) seperti ini dan kami sentiasa berhubung kerana saya memang rapat dengan mereka," katanya.

Ketika ditanya pemberita adakah penyiasat persendirian itu dan keluarganya bertindak menyembunyikan diri, Kumaresan berkata: "Saya pasti mereka tidak akan bersembunyi tanpa sebab kecuali jika keselamatan mereka terancam."

Akhbar New Straits Times hari ini melaporkan pemeriksaan mereka ke rumah Balasubramaniam di Rawang semalam mendapati rumahnya kosong dan jiran memberitahu bahawa mereka sekeluarga telah keluar dengan tergesa-gesa sejak awal pagi semalam dengan sebuah lagi keretanya.

Balasubramaniam pagi semalam telah menarik balik tuduhannya terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang beliau dakwa mempunyai hubungan dengan Altantuya dalam akuan bersumpah bertarikh 1 Julai yang didedahkannya pada Khamis lepas.

Beliau yang merupakan salah seorang saksi kes bunuh Altantuya berkata semua tuduhan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak tepat dan tidak benar dan ia dibuat dalam keadaan tertekan, dan beliau telah membuat Akuan Bersumpah yang baru semalam dengan menggugurkan dakwaan terhadap Najib. BERNAMA