KUALA LUMPUR, 18 OKT : Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik
Kebangsaan (Pendidik) mengemukakan satu memorandum mendesak Kementerian
Pelajaran menghentikan segala bentuk tindakan tidak profesional,
penganiayaan dan kezaliman kepada warga pendidik.
Presidennya, Normala Sudirman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala
berkata, dalam masa dua minggu pihaknya menerima tidak kurang daripada
100 aduan berhubung tekanan yang dikenakan terhadap guru.
Bercakap pada satu sidang media di lobi Parlimen, NGO Pendidik
mendesak Kementerian Pelajaran yang diketuai oleh Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengembalikan semula semua hak guru
teraniaya selain menghentikan diskriminasi warga guru dengan melabel
satu kelompok sebagai Umno-BN dan satu lagi kelompok bukan Umno-BN.
Lantaran itu juga, mereka turut mendesak pembentukan satu
jawatankuasa bebas di bawah Parlimen bagi menangani dan mengendalikan
kes-kes penganiayaan terhadap guru.
“Antara bentuk tindakan yang dikenakan adalah dibuang kerja kerana
tidak tahan menurut arahan dengan kerap berpindah dan tidak munasabah.
“Selain itu, guru dipindahkan jauh dari kediaman dan keluarga atas
tekanan politik malahan disyaki aktif berpolitik serta cenderung kepada
pembangkang,” katanya yang juga bekas calon PAS pada Pilihan Raya Kecil
Dun Tenang pada tahun 2011.
Dalam memorandum yang diterima oleh Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti
Mariah Mahmud selaku wakil Pakatan Rakyat turut dilampirkan beberapa
nama guru yang menjadi mangsa penganiayaan Kementerian Pelajaran
termasuk suami Cikgu Mala, Maarof Abdul Mutalib.
Beliau ditukarkan dari SMK Tenang Stesen, Segamat Ke SMK Tanjung
Pengelih, Pengerang, Kota Tinggi yang menyaksikan jarak ulang-alik lebih
500KM.
Selain itu, beliau turut berhadapan hukuman berganda iaitu amaran,
tindakan tata tertib, dipotong gaji tujuh hari bekerja serta dinafikan
bonus tahun 2011, kesan daripada penglibatan isterinya dalam medan
politik.