Friday, July 4, 2008

Anwar akui kunjung kondo, sedia beri keteranganm di mahkamah

PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan yang beliau pernah mengunjungi kondo mewah yang dikaitkan dengan dakwaan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Soal kondo akan kita hadapi di mahkamah. Kedudukan saya jelas, ini adalah satu fitnah jahat. Saya ada cukup keterangan dan alibi untuk mempertahankan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Itu sahaja. Saya tak boleh jawab lebih atas nasihat peguam. Sebarang kenyataan yang boleh menggangu perjalanan kes di mahkamah tidak akan membantu,” katanya.

Beliau juga memberi penjelasan akan mengambil tindakan terhadap media tertentu termasuk sebuah akhbar bahasa Inggeris arus perdana yang memanipulasai maklumat mengenai kes ini.

“Saya tidak akan mengambil pendekatan yang sederhana. Saya akan mengambil tindakan yang keras.

“Ini bukan soal maruah peribadi mahupun keluarga. Ini soal strategi untuk mengalih pandangan daripada perjuangan kita untuk menegakkan keadilan dan membawa pembaharuan kepada negara kita,” katanya lagi.

http://mstar.com.my