“Daripada bertengkar tidak tentu arah, saya syorkan mubahalah agar dapat menyelesaikan kekalutan isu liwat ini. Disebabkan isu yang semakin kalut ini, rakyat menjadi celaru,” kata beliau dalam Kuliah Hadith lewat malam semalam di Masjid Alwi, Kangar Perlis.
(Rakaman ucapan Mufti Perlis boleh diakses di laman web beliau www.drmaza.com).
Asri menjelaskan: ”Kita tidak tahu siapa sebenarnya yang berbohong. Dia kata dia, ada kata orang ni. Ada kata konspirasi, niat jahat sampai rakyat berkelahi dan bertumbuk. Macam-macam cerita kita dengar.
Di sebalik isu berkenaan, Asri berkata, beliau kecewa kerana politik tanah air kini menjurus ke arah tindakan mengaibkan satu sama lain.
“Dalam Islam, pada asalnya tidak boleh buka aib orang, cerita peribadi orang tidak boleh dedah pada orang lain. Tapi dalam politik Malaysia sekarang, main lawan dedah aib. Dua kali lima, lima kali dua. Semua dok pakat bongkar hal orang,” katanya lagi.
Tambah Asri, beliau tidak berhasrat membela sesiapa dalam isu liwat tersebut.
“Saya tak nak bela sesiapa. Yang untungnya, surat khabar laku. Asalnya memang perkara peribadi macam ini tidak boleh dedah,” katanya.
“Ada orang kata kena kemukakan empat orang saksi. Saya tidak setuju sebab budak (Saiful) ini mendakwa diri dia sendiri (seorang diri), bukan orang lain.
“Pihak yang mendakwa (Saiful) hendaklah mendatangkan bai’nah (bukti). Sila bersumpah pada orang yang dituduh yang dia tidak melakukannya.
“Kedua-dua pihak (Anwar dan Saiful) hendaklah bersumpah. Kalau tidak puas hati lagi, bermubahalah seperti ini… ‘Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya laknat Allah kepada saya’ dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi… saya tidak melakukannya,” katanya.
Selepas bersumpah, kata Asri, kedua-dua pihak dan semua orang kena senyap dan tidak perlu memberikan sebarang ulasan lanjut.
“Ini benda peribadi tapi sudah jadi urusan rakyat. Serahkan pada Allah kerana ini urusan Allah,” kata Asri.
Kata Asri, politik pada asalnya ialah satu tanggungjawab khilafah yakni memakmurkan dunia dan khalifah yang dilantik mesti menegakkan agama dan menguruskan dunia.
“Tapi sekarang politik sudah jadi lawan tuduh dan lawan dedah. Gelanggang yang kotor. Tokoh Turki Badiuzzaman Said Nursi pernah berkata ‘Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik’,” ujar beliau.
Katanya, tokoh agama Rasyid Ridha pula pernah berkata, “Aku berlindung dengan Allah daripada politik dan apa sahaja terbitan politik”.
Beliau turut merujuk pertama kali mubahalah dilakukan dalam satu peristiwa pada zaman Nabi apabila puak Kristian di Najran mempertikaikan kebenaran Nabi.
“Nabi telah membawa Hussin, Hassan dan Fatimah dan mencabar puak Kristian di Najran untuk bermubahalah iaitu laknat-melaknati atas nama Tuhan tapi puak Kristian Najran tidak berani…,” katanya.
Seperti yang terkandung dalam Ayat 59-61, Surah Ali-Imran di mana antara lain, Allah berfirman,”Kebenaran itu dari Tuhanmu. Jangan kamu termasuk dalam golongan mereka yang ragu. Setelah datang kepada engkau keterangan dan ilmu. Katakanlah pada mereka semua…”
Katanya lagi, ulamak Al Abbas pernah melakukan mubahalah, begitu juga Ibnu Hajar Al-Asqalani (penyusun kitab Bulughul Maram) pernah mencabar pendapat kesesatan ahli sufi Ibnu Arabi dengan mubahalah apabila pertengkaran mereka melarat sampai ke pengetahuan Sultan.
“Ketika itu, Ibnu Hajar dan Ibnu Arabi bermubahalah di mana dia berkata kalau Ibnu Hajar berada di atas petunjuk Allah, Allah akan laknat aku dan begitu juga jika dia berada di atas kesesatan Allah.”
Kata Asri, mubahalah itu dilakukan pada bulan Ramadan. Bila tiba bulan Zulkaedah, bapa saudara Ibnu Arabi buta mata dan mati.