Saturday, July 19, 2008

Azizah: 'Saya percaya Anwar, satu lagi konspirasi politik'


KUALA LUMPUR: Sambil menyifatkan nasib dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai konspirasi politik, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak dapat menjangkakan momentum gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpinnya selepas ini.

"Saya kata ada dan tidak... memang pada satu sudut kita kena tumpukan perhatian kita kepada kes apabila dibawa ke mahkamah," katanya.

Bagaimanapun kata isteri bekas Timbalan Perdana Menteri itu, ramai orang melihat isu yang dihadapi Anwar sekarang bukan kes biasa sebaliknya sebagai "kes politik."

"Ini kes politik, tak akan bukan kerana politik, tindakan-tindakan ini dilakukan. Dan, ada yang mengatakan ini adalah zalim, zalim terhadap sesiapa, bukan kerana saudara Anwar, tetapi sesiapa saja," kata Ketua Pembangkang di Parlimen ini dalam temu bual dengan mStar Online di rumah mereka di Bukit Segambut hari ini.

Malah, Dr. Wan Azizah berkata, pihak pemerintah bertindak 'tegas' ke atas Anwar selepas forum debat yang disertai Anwar pada malam Selasa lalu.

Anwar ditahan hari keesokan ketika beliau dalam perjalanan ke rumahnya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah, sejam sebelum hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Kata Dr. Wan Azizah, tahap sokongan ke atas Anwar meningkat ekoran program itu yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen ke seluruh negara.

Ia merupakan kemunculan pertama Anwar selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada September 1998.

Ketika ditanya lagi sejauh mana beliau melihat ia sebagai konspirasi politik, Dr. Wan Azizah menjelaskan: "Saya bermaksud begini... sebab, cara bagaimana Anwar diperlakukan, kenapa?"

Katanya, jika Anwar berhadapan dengan tuduhan yang dimaksudkan, beliau tidak harus dikepung oleh anggota pasukan khas sehingga 20 orang dengan sesetengah mereka bertopeng, di tengah-tengah jalan ketika pulang ke rumah.

"Serbu, ditahan di tengah jalan, macam drama, macam drama Tamil pula itu," katanya dengan diringi senyuman kecil beliau.

"Tahun 98 pun macam itu, mereka datang ke rumah ketika sedang diadakan sidang akhbar. Sungguh dramatik, tiada syak ini adalah motif politik," katanya.

Di peringkat awal temu bual Dr. Wan Azizah juga menyifatkan tangkapan Anwar sebagai "ulang tayang" dengan merujuk kepada suasana tahun 1998 di rumah mereka di Bukit Damansara.

"Dan kenapa pihak polis dan juga pihak kerajaan ingin sangat peroleh sampel untuk DNA kerana kita tahu bahawa sampel DNA sudah dipegang oleh polis sejak 1998, dan kita juga telah lihat bahawa banyak bukti telah direka cipta dalam kes-kes terdahulu apabila Anwar telah dibebas, dilepaskan daripada tuduhan-tuduhan terdahulu.

"Ini kita melihat ulang tayang yang saya rasa bahawa peristiwa kali ini macam ulang tayang," katanya lagi.

Apabila ditanya sejauh mana pihaknya boleh melihat ia sebagai konspirasi politik sedangkan beliau dan Naib Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali sendiri telah menemui dua kali sepanjang tiga minggu lalu, Dr. Wan Azizah memberitahu, kedua-dua mereka menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meminta jaminan keselamatan Anwar.

"Saya apabila bertemu, bila dikatakan hendak ditangkap, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara didakwa terlibat dan sekurang-kurangnya kedua-dua mereka tidak boleh mencampuri kes Anwar kerana ada konlfik kepentingan.

"Perdana Menteri jamin Anwar tidak akan dipukul dan dikasari, jaminan itu saya peroleh sendiri, yang lain itu... saya mahu lebih lah tetapi...," kata beliau sambil menambah:

"Kini makin terserlah, ini adalah politik. Oleh kerana politik, mereka bertindak dan beginilah dilakukan apabila Anwar dilihat sebagai satu cabaran, cabaran yang kuat kepada pihak pemerintah. Lebih-lebih lagi apabila ada debat yang kuat, tidak pernah dalam sejarah Malaysia ada debat macam pemilihan presiden Amerika Syarikat.

"Kita melihat bahawa saudara Anwar memang meyakinkan bagaimana kalau dia, kita boleh memegang tampuk kerajaan.

"Itu telah melonjakkan rating Anwar, Keadilan dan Pakatan... melihat ini saya kira pihak berkuasa mengambil tindakan (menahannya)," katanya.

mstar.com.my