Friday, July 18, 2008

DNA: Keluarga Anwar was-was syor polis benarkan Anwar pilih sendiri pakar

KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap was-was untuk memberikan sampel darah meskipun pihak polis memberikan pilihan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu agar memilih sendiri pakar forensik mengendalikan pemeriksaan dan ujian DNA terhadapnya.

Dalam temu bual dengan mStar Online sebentar tadi, isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, berdasarkan pengalaman sedekad yang lalu keluarga pihaknya masih tidak percaya dengan pihak berkuasa polis.

"(Kami) masih was-was, sebab kita dah kena (pengalaman dulu)... kalau tuan-tuan, kalau saudara atau sesiapa terkena baru terasa," kata beliau dalam pertemuan yang diadakan di rumahnya di Bukti Segambut dekat sini, sehari selepas Anwar dibebaskan atas jaminan polis semalam.

* Anwar mengadakan sidang media khas pukul 3 petang ini

Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, polis mungkin mendapatkan perintah mahkamah bagi mengambil contoh darah Anwar untuk tujuan analisis DNA jika beliau terus enggan bekerjasama.

Malah kata beliau, pihaknya memberi pilihan kepada Anwar untuk memilih pakar forensik sendiri bagi tujuan itu demi mengelakkan keraguan terhadap hasil ujian DNA kelak.

Anwar yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur kelmarin untuk disiasat berhubung dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan menolak permintaan polis untuk menjalani ujian DNA.

Menurut Ismail, dalam kes liwat adalah penting untuk mendapatkan contoh DNA daripada orang yang dituduh terlibat.

Ditanya sama ada polis akan menggunakan contoh DNA yang diambil daripada Anwar 10 tahun lepas (ketika beliau berdepan tuduhan serupa) untuk disepadankan dengan Mohd Saiful, Ismail berkata, polis tidak akan berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Dr. Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pihak berkuasa mempunyai rekod DNA yang telah diambil pada 1998.

Malah jelas beliau, dalam kes Anwar pada 1999 pihaknya tidak dibenarkan membawa pakar-pakar untuk berhujah di mahkamah.

"Itu kan ada dulu, dulu dibawa tilam, kita bawa pakar kita, tidak dibenarkan untuk berhujah dalam mahkamah.

"Lepas itu Haji Sulaiman (Abdullah, peguam Anwar) hendak berhujah dengan baik sekali dan bila hujah kita, dia nampak pendakwa raya akan kalah, tetapi (hujah) telah ditolak," katanya.

Mengambil kira pengalaman itu, kata beliau, sukar bagi pihaknya untuk bekerjasama kerana kredibiliti polis kini dipersoalkan dan meragukan.

"Kita tidak boleh memberi kepercayaan penuh kepada polis, sebab itu lah kita mengambil langkah-langkah, sebab kita dah kena dulu," katanya.

Dr. Azizah menambah, pihaknya juga tidak mahu mempercayai polis kerana Anwar dijanji akan dibenarkan untuk pulang selepas diambil keterangan dan menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur tetapi tidak dtunaikan.

"Kita dah tahu... pasal apa? Mereka semalam (kelmarin) janji Anwar akan keluar tetapi mungkir janji. Jadi macam mana?" katanya.

Katanya lagi, Anwar akan membenarkan sampel diambil atas arahan mahkamah.

"Kalau tidak no way," katanya.

mstar.com.my