Apabila saya terbaca akhbar pada hari ini, terus perasaan marah saya yang dahulu terhadap kekejaman dan kezaliman rejim Barisan Nasional dan angkatannya kembali meluap-luap. Anwar Ibrahim ingin disimpan kembali ke dalam penjara!
Tuduhan liwat dan ugutan bunuh merupakan satu taktik musuh politik Anwar untuk menutup mulutnya dan memusnahkan karier politknya serta memadamkan impian rakyat Malaysia untuk memiliki sebuah negara Malaysia baru pada tanggal 16 September ini.
Dek kerana perkembangan kemajuan Pakatan Rakyat, kecelaruan UMNO BN serta kekalahan pada pilihanraya yang lalu, kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga minyak, kes lingam, kes altantuya, rahsia-rahsia musuh politik yang dimiliki Anwar serta perjalanan yang semakin hampir untuk memimpin Malaysia menjadikan Malaysia semakin tidak berundang-undang lalu musuh politik Anwar boleh berbuat apa sahaja asalkan dapat menyekat pengaruh Anwar dan kejayaannya dalam membentuk politik baru Malaysia.
Rakyat tahu dan sedar akan keadaan sebenar. Rakyat kini bukan rakyat yang dahulu!
Apa cara sekalipun, rakyat semakin membenci kekejaman dan kerakusan rejim BN ini! Kejayaan akan dicapai setelah kezaliman, hanya masa yang akan menentukan. Api reformasi 1998 kini bergema kembali! Anwar kembali difitnah malah akan dibunuh!
Menurut pandangan umum, kemasukan Ezam ke dalam rejim UMNO BN adalah kerana kecewa bahawa dirinya tidak dihargai dan faktor kewangan yang meruncing. Seperkara lagi, mungkin idealisme perjuangan Ezam bersama rakyat sudah tiada lagi. Oleh itu, Ezam memilh UMNO. Parti yang disayangi sejak kecil.
Bagi rakyat, beliau adalah simbol pengkhianat, pemimpin yang gila kuasa dan sebagainya. Beliau dihentam dan dimaki semahu-mahunya oleh penyokong-penyokong PR.
Kini Anwar kembali dizalimi. Ezam adalah seorang pembela golongan yang tertindas. Dia akan melawan penindasan dan melawan untuk kumpulan tertindas. Semasa Pak Lah sesak untuk bernafas, Ezam muncul untuk memberi oksigen dengan mendaftar sebagai ahli UMNO.
Kini Anwar kembali dizalimi lagi. Apakah Ezam akan muncul sebagai penyelamat? Menurut satu teori, Ezam mungkin telah lama mengetahui akan satu konspirasi jahat yang akan dilakukan terhadap Anwar. Namun beliau tidak tahu bilakah masanya. Lalu beliau dengan rela hati sanggup mengorbankan dirinya dengan menjadi spy berani mati yang secara terang-terangan masuk melalui pintu hadapan ke dalam UMNO. Ini untuk mengelakkan syak wasangka yang mendalam terhadapnya kerana beliau adalah seorang pengkritik hebat kerajaan semasa berada dalam pembangkang sebelum ini.
Ketika keadaan terdesak seperti sekarang, Ezam dapat menjalankan tugas supaya dapat memujuk Pak Lah atau mengumpulkan kumpulan-kumpulan manusia untuk membantu Anwar dari dalam UMNO. Selain itu, Ezam dapat mengumpul maklumat tentang siapakah yang terlibat menjadi dalang dalam konspirasi terbaru terhadap Anwar ini.
Bagi sesetengah orang, Ezam adalah pengkhianat. Namun bagi pihak yang melihat dengan sangka baik, Ezam mungkin pejuang yang tulen. Ezam akan kembali membela Anwar seperti yang berlaku pada era reformasi 1998 dahulu walaupun kini terpaksa berjuang dan berkorban dari dalam UMNO dengan tekanan, kutukan dan hinaan pelbagai pihak.
Ezam akan kembali menjadi pembela golongan tertindas? Ezam akan kembali membela Anwar, bosnya dahulu? Apakah perjuangan dan jatidiri anak muda ini masih utuh dengan semangat REFORMASI? Apakah beliau akan kembali membela dan meneruskan kerja dari dalam untuk memudahkan Anwar menjadi PM Malaysia walaupun berhadapan dengan suasana yang amat sukar? Ataupun Ezam benar-benar pengkhianat dan penolong golongan yang zalim? Kita nantikan episod drama terhebat dalam sejarah politik Malaysia ini.
Akhir kata, mintalah pertolongan daripada Allah swt. Sesungguhnya, pertolongan Allah swt sangat hampir. Berdoalah agar kemenangan berada pada pihak yang benar. Semoga kesejahteraan pemimpin-pemimpin kita yang beriman kepada Allah swt akan terpelihara seterusnya kesejahteraan rakyat Malaysia akan terbela.
BERANI KERANA BENAR,
TAKUT KERANA SALAH.
Muxisme
30 Jun 2008.