Wednesday, July 23, 2008

Kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu sasaran Anwar bertanding?

KUALA LUMPUR: Selepas spekulasi kawasan Bandar Tun Razak, Permatang Pauh dan Kuala Kangsar menjadi idaman, kini tumpuan kerusi Parlimen bakal ditandingi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjurus ke arah bahagian Kulim-Bandar Baharu di Kedah.

Anwar mendedahkan beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan penyandang kerusi berkenaan, Zulkifli Noordin.

“Saya dah berbincang dengan Zulkifli dan beliau maklumkan bersedia untuk memberi laluan kepada saya jika pilihan raya kecil diadakan,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR petang tadi.

Anwar yang memperoleh lampu hijau untuk aktif berpolitik dua bulan lalu memberitahu, beliau sudah berbincang dengan pemimpin PKR, Pas dan DAP bagi sebarang kemungkinan menghadapi pilihan raya kecil yang pengumumannya ditangguhkan oleh mahkamah sehingga 16 Ogos ini.

Pada 26 April lalu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang kalah kepada Zulkifli dengan perbezaan 5,583 undi memfailkan petisyen mendakwa Zulkifli kerana gagal mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya pilihan raya umum ke-11.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai tarikh keramat ‘16 September’ yang bakal menyaksikan perubahan politik dalam negara, Anwar berkata, Pakatan Rakyat masih berada dalam landasan yang betul untuk mencapai sasaran itu.

“Kami masih dalam landasan (matlamat tubuh kerajaan) untuk pastikan rakyat terus bersama kami. Tempoh yang ditetapkan tidak akan berubah” katanya.

Namun katanya isu sekarang ialah bukan mengenai ‘Anwar’, tapi mengenai Pakatan Rakyat yang bermatlamat membentuk kerajaan baru.

Beliau juga enggan isu ini dilihat sebagai isu peribadi.

Ditanya mengenai pengumuman ahli Parlimen BN yang akan menyertai pembangkang beliau berkata, perkara itu akan menjadi satu kejutan.

“Kami akan beri kejutan kepada anda. Ia mesti ada elemen kejutan bagi tujuan itu,” tambah beliau yang mengakui rancangannya itu sedikit terganggu kerana berhadapan dengan dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Diminta mengulas mengenai kenyataan bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim yang mengatakan beliau berdolak-dalik supaya menjalani ujian DNA, beliau bagaimanapun menafikan mengenai perkara itu.

“Mengapa mulakan dengan laporan polis? Mengapa mulakan dengan ujian kesihatan? Mengapa bercakap bagi pihak Musa (Tan Sri Musa Hasan)? Jawab dulu ketiga-tiga soalan ini.

“Beban untuk mengemukakan bukti adalah pada pihak yang mendakwa, bukan pada saya yang didakwa,” katanya tegas.

Katanya lagi, menurut undang-undang Islam juga pihak yang membuat tuduhan terhadap seseorang perlu mengemukakan bukti-bukti yang jelas.

“Ini adalah proses yang perlu diikuti. Namun saya tahu ada media yang melaporkan seolah-olah saya ini seorang yang suka mengelak,” katanya.

Mengenai muzakarah yang diadakan antara Pas-Umno, beliau tidak akan mempersoalkan mengenai kejujuran PAS kerana parti itu telah memberi jaminan untuk terus kekal bersama Pakatan Rakyat.

“Apa yang penting komitmen mereka (PAS) untuk pastikan lima buah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat terus kuat dan mantap,” katanya.

mstar.com.my