(Harakah) - Pastinya parlimen akan bergegar lagi dengan kehadiran tokoh yang begitu digeruni Barisan Nasional (BN) sekiranya memenangi pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh.
Oleh itu dalam tempoh dua bulan dari sekarang kemungkinan besar Dato� Seri Anwar Ibrahim akan menjadi anggota baru Dewan Rakyat.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, sekiranya kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat sudah tentu akan mewujudkan tekanan baru kepada kepemimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Niatnya sebelum ini hendak berpaut kepada PAS bagi melanjutkan penerimaan kepimpinannya dalam Umno sebaliknya berhadapan dengan situasi baru pula," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Presiden KeADILan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini menghantar surat meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Wan Azizah berkata, beliau meletak jawatan bagi memberi laluan kepada suaminya (Anwar) bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan secepat mungkin.
Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, pilihan raya kecil Permatang Pauh akan berlangsung lebih awal daripada pemilihan pucuk pimpinan Umno pada Disember depan.
"Pengosongan kerusi oleh Dato' Seri Dr Wan Azizah hari ini membolehkan Pakatan Rakyat mewujudkan perpaduan. Segala serangan media oleh Barisan Nasional dalam masa dua minggu kebelakangan ini terkubur dengan sekelip mata.
"PAS InsyaAllah akan memberi sokongan dan bantuan sebaiknya," katanya.
Oleh itu beliau berkata, sekiranya ditakdirkan Anwar memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh sudah tentu akan menggugatkan kedudukan Abdullah.
Menurutnya ketika itu ahli Umno dapat membuat keputusan sama ada kepimpinan Abdullah masih diperlukan atau tidak releven lagi.
"Kemasukkan Dato' Seri Anwar ke Dewan Rakyat adalah perlu ketika ekonomi negara dijangka lebih merudum.
"Agenda reformasi yang didokong bersama Pakatan Rakyat bagi kesejahteraan Malaysia keseluruhannya memerlukan Anwar di Parlimen," katanya.