Akar nibung meresap-resap, akar mati dalam perahu,terbakar kampung nampak berasap, terbakar hati siapa yang tahu.
Melayari kisah Nabi Yusuf membuatku terpana dengan keikhlasan dan keredhaan Nabi Yusuf atas segala cubaan yang ditimpakan Allah ke atasnya.
Setelah dibuang ke dalam perigi oleh saudara-saudaranya sendiri, dikutip dan dijual dengan harga yang sangat murah kepada seorang pembesar di Mesir.
Yusuf kemudian diuji dengan godaan dari isteri pembesar tersebut. Sekalian wanita-wanita di daerah yang melihatnya terpesona hingga tidak sedar terpotong jari sendiri.
Begitupun tidak sedikit iman Yusuf tergugat, dia memilih untuk ke penjara daripada tumpas kepada godaan wanita-wanita ini.
Dikurung bertahun-tahun dalam penjara, peluangnya untuk kembali bebas hampir tiba melalui lelaki yang ditakwilkan mimpinya oleh Yusuf.
Tetapi Allah terus mengujinya, dengan membenarkan syaitan membuat lelaki itu lupa untuk melakukan apa yang diminta oleh Yusuf dan Yusuf terus terpenjara untuk beberapa tahun lagi, sehingga dia menakwilkan mimpi Raja Mesir dengan tepat, dibebaskan dan terus diangkat sebagai bendaharawan negara.
Lihat cubaan-cubaan yang Allah turunkan ke atasnya, dibuang oleh saudara sendiri, terpisah dengan ayah yang sangat dicintainya Nabi Yaacob, dibeli untuk dijadikan hamba, digoda oleh wanita-wanita yang terpesona dengan ketampanannya, dipenjara selama bertahun-tahun.
Jika kita diletakkan di tempatnya, di titik manakah kita akan mengalah dan berputus asa dari rahmat Allah?
Ketika kita dalam penjara dan merasakan Allah tidak akan menolong kita?
Ketika digoda dan difitnah oleh isteri pembesar lalu kita tunduk kepada godaannya supaya kita selamat dari dipenjarakan?
Atau ketika kita dibuang ke dalam perigi kita menyalahkan Allah kerana tidak membantu kita?
Apakah jawapan Yusuf setelah mengharungi segala kepayahan ini?
“Wahai ayahku! Inilah takwil mimpiku yg dahulu itu. Dan sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya kenyataan. Sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun, setelah setan merosak hubungan antara aku dan saudara-saudaraku. Sungguh, Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yg Dia kehendaki. Sungguh, Dia Yang Maha Mengetahui, Maha bijaksana” (12:100)
Subahanallah! Ya Allah, betapa mulianya hati Yusuf setelah diuji untuk satu jangka masa yang cukup lama, sejak dari dirinya masih kecil sehingga dia dewasa, yang hanya memberi kesan terbesar kepadanya ialah apabila Allah memberikannya kemenangan.
Lihat diri kita. Apabila susah, kita cari Allah swt.
Bila senang, kita anggap semuanya atas keupayaan kita.
Sebab itu, apabila kita ditimpa kesusahan dan Allah tidak berikan jalan keluarnya, kita rasa Allah tidak sayang kita, tidak pedulikan kita, tidak mahu membantu kita.
Sungguh tidak bersyukurnya kita!
Ayuh mari jadi seperti Yusuf, yang melihat segala kesusahan yang menimpa dirinya tidak ada apa-apa berbanding dengan nikmat yang Allah berikan.
Mari kita jadi orang yg sentiasa bersyukur, ketika senang, dan lebih-lebih lagi ketika susah, kerana syukur ketika senang itu mudah untuk dicari, tetapi ketika susah jarang sekali.
Wallahua’lam.