Wednesday, March 16, 2011

Anwar dakwa Putrajaya anak tirikan negeri Pakatan

Kerajaan Persekutuan Umno-Barisan Nasional menganak-tirikan negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat dalam pengagihan peruntukan sungguhpun Selangor dan Pulau Pinang menjadi tonggak utama ekonomi Malaysia, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai contoh, Selangor menyumbang RM16 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan tetapi hanya diberikan RM400 juta setahun atau 2.9 peratus…ini adalah jumlah yang tidak munasabah,” kata Anwar kepada TV Selangor.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan wacana berjudul Federalism: Keadilan Dalam Pengagihan Kekayaan Negara di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Amat jelas bahawa beberapa prinsip asas Perlembagaan bersabit hak-hak negeri semakin terhakis…bukan sahaja yang membabitkan Sabah dan Sarawak tetapi juga di negeri yang ditadbir oleh PR,” katanya.

Anwar berkata sebelum pilihanraya umum 2008, negeri-negeri seperti Selangor yang ditadbir oleh BN menerima dua kali ganda peruntukan daripada apa yang diberikan ketika ini.

Beliau yang juga ketua umum PKR berkata perlembagaan Malaysia memperuntukan bahawa jumlah peruntukan untuk negeri harus berasaskan formula tertentu termasuk jumlah kepadatan penduduk.

"Yang kita pertikaikan ialah, mereka (kerajaan pusat) tidak mempunyai kaedah yang tetap dan rasional. Jika negeri itu diperintah oleh Pakatan Rakyat, maka peruntukan disekat, malah untuk Pulau Pinang jumlah peruntukan adalah lebih kecil" kata Anwar.

Pulau Pinang menyumbangkan hasil cukai RM2.5 bilion kepada kerajaan persekutuan dan merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar RM48 bilion pada tahun lalu. Namun peruntukan Putrajaya untuk kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu hanya sekitar RM150 juta.

Anwar berkata beliau peka kepada keperluan kerajaan pusat membela nasib penduduk di negeri-negeri yang kurang maju dan justeru itu memerlukan peruntukan yang lebih tinggi.

“Saya menerima prinsip itu. Tetapi jelas mereka (kerajaan pusat) tidak mempunyai kaedah pengagihan yang rasional dan konsisten. Jika negeri itu ditadbir oleh Pakatan Rakyat, peruntukan serta merta disekat.

“Kami terima hakikat bahawa BN adalah kerajaan pusat dan mempunyai kuasa untuk menguruskan dana awam dan dasar-dasar tetapi mereka harus mengiktiraf mandat penduduk di negeri-negeri (pimpinan Pakatan),” katanya.

Menurut Anwar, ini bukan soal menyusup kuasa kerajaan persekutuan dalam pengagihan peruntukan, namun amalan berkenaan jelas tidak telus dan konsisten.

“Tidak logik jika negeri-negeri Pakatan diberikan hanya 2.9 peratus dan negeri-negeri pimpinan Umno-BN diberi 20 peratus. Saya menekankan pengagihan peruntukan harus berlandaskan sistem yang rasional dan berpaksi kepada ketelusan dan prosedur kewangan yang ditetapkan.

“Tidak apa jika negeri-negeri miskin diberi peruntukan lebih, namun di Selangor juga bukan semua rakyatnya berpendapatan tinggi. Justeru mereka juga harus dibantu. Kita seharusnya memberi pertimbangan kepada kawasan-kawasan di mana penduduknya di pinggirkan,” katanya.

Sumber Malaysiakini