Saturday, April 2, 2011

Terima kasih polis bantu rakyat benci Umno BN




“Terima kasih PDRM bantu rakyat benci Umno BN,” kata Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam yang mengesahkan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didedahkan tiga manusia baru-baru ini adalah tulen.

Menurut Ismail, pengesahan itu dibuat oleh pakar profesional yang dilantik pihaknya minggu lalu untuk membuat kajian terperinci.

Katanya, hasil siasatan rakaman video itu yang kini di peringkat akhir akan diserahkan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kemungkinan selepas ini pihak polis akan mengesahkan bahawa ‘pelakon’ lelaki di dalam video berkenaan adalah Anwar.

Baginya, itulah ‘skrip’ sejak dari awal lagi di mana semua media yang pro Umno BN cuba mengaitkan video lucah itu dengan Ketua Umum PKR.

Secara sinis, beliau berkata, walaupun video lucah itu dimaklumkan pihak polis adalah tulin tetapi gagal mengesahkan pelakonnya kemungkinan disebabkan mata penyiasat rabun.

“Mungkin penyiasat mata rabun atau yang siasat ni ‘polis malaikat’ yang tak tengok adegan atas katil, jadi dia siasat video saja,” ujarnya lagi.