Monday, October 22, 2012

Hudud: MCA hina Islam, bukan serang PAS

SHAH ALAM: MCA sebenarnya telah menghina Islam bukannya PAS dalam soal pelaksanaan hukum hudud, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Malah menurutnya lagi, apa yang dilakukan oleh MCA itu membuktikan kegagalan Umno dalam mendidik MCA untuk menghormati kaum serta agama lain.

"Apa yang dilakukan oleh MCA itu membuktikan kegagalan Umno untuk mendidik MCA agar menghormati agama lain sehinggakan MCA berani bertindakan sedemikian.

"Selain itu juga tindakan MCA itu bukannya menyerang PAS tetapi telah menghina agama Islam dan seluruh orang Melayu di negara ini," jelasnya.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam ucapannya di perhimpunan agung MCA ke-59 telah memberitahu lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

Malah, beliau yang turut menyatakan DAP berjaya meyakinkan orang bukan Islam bahawa hudud PAS akan mengurangkan jenayah dan rasuah di dalam negara ini adalah satu penipuan besar.

"Menghina hukum hudud bukannya menghina PAS tetapi Chua Soi Lek telah menghina Islam dan kita tidak setuju dengan apa yang telah dilakukan oleh beliau.

"Tetapi kenapa Umno berdiam diri dalam soal ini dan ia seolah-olah Umno sendiri merestui apa yang dilakukan oleh Presiden MCA itu," ujar Mohamad.

Beliau tidak mahu atas tindakan keceluparan pemimpin MCA yang terus menghina Islam akan menyebabkan timbulnya ketegangan agama di negara ini.

"Kita tidak kisah kalau Umno ingin bekerjasama dengan MCA tetapi tindakan Umno membiarkan MCA terus menghina Islam adalah perkara yang tidak boleh dibiarkan," tegasnya.