from: http://bm.harakahdaily.net/
KOTA BHARU: Seorang bekas polis yang bertugas dengan
Cawangan Khas (SB) selama 25 tahun, Abdullah Omar memohon maaf atas
segala dosa yang beliau lakukan terhadap PAS sepanjang bertugas sebagai
polis.
"Dosa apa yang saya tak buat terhadap PAS sepanjang lima
pilihan raya yang lepas...saya tidak mahu sebut di sini, biar saya dan
Allah sahaja yang tahu.
"Tetapi maafkanlah saya, saya sudah
bertaubat," katanya yang tampil sebagai perwakilan Taiping yang
menyokong usul Pilihan Raya yang dibawa PAS Pusat.
Abdullah juga
merupakan bekas OCPD Taiping pernah bertugas sebagai SB selama 25 tahun
berterima kasih kepada PAS kerana sanggup menerima beliau yang pernah
berdosa dengan PAS dan rakyat.
"Saya berbesar hati hari ini
diangkat untuk berucap di Muktamar walau pun baru dua tahun bersama PAS,
paling terharu PAS boleh terima orang yang berdosa seperti saya,"
katanya.
Cabar Majlis Fatwa
Pada masa sama beliau yang
juga bekas OCPD itu turut mencabar Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa
tentang gaji yang diperoleh oleh mana-mana calon yang menang pilihan
raya melalui penipuan pilihan raya.
"Saya nak cabar Majlis Fatwa
dan Mufti, kalau menipu dalam pilihan raya kemudian menang. Jadi Perdana
Menteri, jadi menteri-menteri, bagaimana dengan gaji mereka.
"Saya tanya tuan-tuan gaji yang mereka dapat halal atau haram?" soal Abdullah terus dijawab para perwakil 'haram'.
"Kalau haram, kenapa Majlis Fatwa tidak keluarkan Fatwa?"
"Ya
gaji yang mereka dapat tidak halal, jawablah di akhirat esok," soalnya
balik ketika berucap menyokong usul pilihan raya oleh PAS Pusat.
Tambahnya, daripada banyak-banyak pilihan raya negara diadakan Malaysialah yang paling teruk.
Ditambah
pula katanya, pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing seperti
Thailand, Bangladesh, Myanmar dan paling malang mereka ini didaftarkan
sebagai pengundi.
Beliau juga membayangkan jika pilihan raya negara ini dijalankan dengan bersih sudah lama Umno BN terkubur.
"Kalau bersih! sudah tentu kita sapu bersih Umno BN. Kita sudah lama jadi pemerintah," tegasnya diringi takbir para perwakilan.