Hari berganti hari, daripada pelbagai senario yang menggamit perhatian itu, saya lebih
tertarik dengan kenyataan Musa Hassan. Dalam sidang media Badan
Bertindak Pemerhati Jenayah Malaysia (MyWatch) di Petaling Jaya,
baru-baru ini, Musa mendakwa pasukan polis yang diterajuinya sering
berdepan campur tangan dan gangguan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin
Hussein. Katanya, Hishamuddin pernah mengeluarkan arahan terus kepada
pegawai bawahannya dan juga ketua polis daerah tanpa pengetahuannya.
"Saya
pernah membangkitkan kepadanya mengenai Seksyen 4 Akta Polis 1967 yang
mengatakan bahawa arahan dan kawalan terhadap pasukan polis dibuat oleh
KPN, bukan menteri. Sudah tentulah saya tidak boleh bertindak kurang
ajar dengannya sebab dia menteri. Saya beritahu dia cara baik tetapi dia
tidak boleh terima," kata Musa.
Arahan terus kepada pegawai
polis, dengan mendahului KPN, kata Musa, bukan sahaja membabitkan
Hishamuddin tetapi juga menteri-menteri lain. Selain itu, ujarnya,
terdapat ahli-ahli politik dan "orang atas" cuba campur tangan dalam kes
penangkapan penjenayah tertentu.
"Saya boleh bagi contoh.
Apabila saya menangkap orang jahat yang terlibat dengan
aktiviti-aktiviti haram, pasti akan ada panggilan telefon meminta mereka
dibebaskan dan ia datang dari orang atas," katanya dengan menyambung
bahawa perkara sebegitu kerap berlaku.
Musa turut "menyerang"
penggantinya, Ismail Omar, yang dilihat banyak pihak sebagai "orang
baik" tetapi dipersoalkan kualiti kepimpinannya . Ismail dianggap boneka
yang cukup mudah diperalatkan dan tidak berupaya berdepan tekanan elit
politik.
"Saya bercakap ini bukan sebab saya nak hentam orang...,
tidak... tetapi untuk betulkan keadaan. Keadaan sekarang makin teruk,
makin teruk dan saya tidak mahu orang tidak percaya kepada polis," kata
Musa.
Manurutnya, sejak akhir-akhir ini campur tangan menteri
semakin dalam pasukan polis semakin parah berbanding dahulu. "Dulu tak
kerap berlaku begini. Dulu tak ada saya rasa. Masa Menteri Dalam Negeri
yang lama-lama kita tak pernah dengar jadi begini. Tapi yang baru-baru
nilah," tegasnya.
Sebenarnya pendedahan Musa bukanlah sesuatu
yang menggemparkan. Sejak lama -- mungkin kemuncaknya semasa pemecatan
Anwar Ibrahim dan era reformasi -- masyarakat memandang serong pasukan
polis, yang dianggap institusi kritikal tetap paling kerap dan mudah
dimanipulasi elit penguasa sehingga tugas asasi, seperti menangani
jenayah terabai.
Pengendalian polis terhadap isu-isu politik,
yang disamarkan sebagai isu keselamatan negara, cukup menjolok mata.
Lihat saja siri demonstrasi Bersih, protes sekitar Jalan Tuanku Abdul
Rahman tahun 1998-99 dan perhimpunan aman lainnya. Orang ramai disepak
terajang, dibalun, ditembak gas dan ditangkap tanpa mengikut prosedur
yang ditetapkan.
Kebenaran untuk mengadakan ceramah politik juga
begitu sukar. Pemberian (dan juga pembatalan) permit sering dibuat
berdasarkan faktor kepentingan politik Umno-BN, dan bukannya keselamatan
negara.
Ya, integriti dan wibawa PDRM sudah terkambus. Ia perlu
dipulihkan segera, melalui proses reformasi menyeluruh, bersama
institusi strategik lainnya seperti Jabatan Peguam Negara, media, badan
kehakiman, SPR dan SPRM. Sukar untuk membayangkan natijah buruk buat
rakyat dan negara ini jika pihak polis, AG dan para hakim pun boleh
dibeli, yang menyebabkan keadilan sukar untuk dilaksanakan.
"Polis
disibukkan dengan kerahan menjaga keselamatan dan survival Umno-BN,
bukannya tugasan menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan
rakyatnya," begitulah kira-kira luahan sebahagian besar rakyat.
"Saya
pernah mendengar gosip terbuka bahawa pengedar dadah, yang mungkin
dihukum gantung jika sabit kesalahan, boleh terselamat selepas menyogok
pihak tertentu, termasuk polis. Lebih dahsyat kononnya ada ketua kongsi
gelap yang mempunyai hubungan istimewa dengan polis dan orang politik
yang menjaga polis," ujar seorang pemimpin kanan oposisi
Cuma,
apabila bekas KPN menyuarakan keresahan yang sama, ia tidak lagi boleh
dipandang ringan, malah ada pihak mencadangkan penubuhan suruhanjaya
diraja menyiasat dakwaan serius Musa itu.
Ya, masakan polis
dapat membongkar salahlaku menterinya sendiri. Dan Musa diharapkan
konsisten untuk menyelongkar sisi-sisi serba hitam dan hodoh tersebut,
walaupun masih ada yang curiga dengannya, mengapa sekarang pekung itu
mahu didedah.
Misalnya, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Komersil, Ramli Yusuf bukan sahaja mempertahankan KPN sekarang, Ismail
Omar, malah menyifatkan persepsi buruk orang ramai terhadap polis
bermula dari zaman Musa. "Pada saya, tidak adil lah jika Musa berterusan
menyerang IGP sekarang. Ismail sedang berusaha memperbaiki imej
tersebut," katanya.
"Dia (Musa) mula menjadi vokal dan mengkritik
kerajaan semasa Menteri Dalam Negeri Hishammuddin mengumumkan dia tidak
dilanjutkan perkhidmatannya,” kata Ramli yang mengganggap ia sebagai
punca rasa tidak puas hati Musa.
Kini, selepas bersuara
lantang, Musa mendakwa diekori polis Cawangan Khas (SB), seolah-olah
beliau telah mengancam keselamatan negara. "Suka saya nasihatkan mereka,
tak perlulah ikut saya, saya tidak akan memusnahkan negara dan lebih
baik menjejaki penjenayah yang mengacau ketenteraman awam," kata Musa,
sambil menyifatkan tindakan mengekorinya itu hanya membazirkan wang
rakyat.
Fungsi, peranan dan operasi Cawangan Khas juga perlu
dibedah siasat. Musa sendiri seolah-olah mengakui SB melakukan tugas
bukan untuk perisikan keselamatan dan ketenteraman awam tetapi terikat
dengan arahan pihak atasan demi motif tertentu.
Apa yang
didedahkan Musa sebenarnya melangkaui dimensi politik kepartaian. Ia
tidak sewajarnya dilihat dengan pandangan siasah yang juling. Kita tidak
mahu adegan yang sering ditonton dalam filem Bollywood -- tentang
komplot di antara penjenayah dengan polis dan elit politik -- menjadi
realiti yang menggerunkan.
Kalaupun Musa juga melakukan kesalahan
sama, termasuk menyalahgunakan kuasanya semasa memegang jawatan KPN,
seperti kata Ramli, membabitkan afidavit seorang penjenayah Goh Cheng
Poh @ Tengku Poh, ia tidak sepatutnya memesongkan kita daripada
memandang serius campur tangan politik terhadap pasukan keselamatan.
oleh: ahmad lutfi othman-harakahdaily