Friday, July 25, 2008

PAS tinggalkan Carburetor Dung, sertai Umno?

Isu "melondeh seluar" oleh sebuah kumpulan muzik underground dalam perhimpunan Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) awal bulan ini perlu dianalisis dari pelbagai sudut.

Pengamatan yang cetek hanya memfokuskan isu ini sekadar moral sekumpulan anak muda yang terlepas daripada tatasusila Melayu.

Perkara yang lebih mendalam timbul apabila kita menggunakan premis berfikir bahawa tidak mungkin PAS akan bersetuju dengan persembahan tersebut jika mereka dimaklumkan format persembahan itu terlebih awal.

Kita perlu menyedari hakikat bahawa perhimpunan yang berhasrat menghimpunkan sejuta rakyat dianjurkan oleh ketiga-tiga parti sebagai tulang belakang Pakatan Rakyat.

Dengan itu, kelihatan apa yang terjadi dalam perhimpunan itu bukannya satu bentuk permuafakatan, tetapi satu perancangan yang dilakukan oleh satu pihak yang dominan dalam pakatan tersebut.

Kini PAS tidak mahu turut dibabitkan dengan perhimpunan itu. Kenyataan presiden PAS dalam laman rasmi parti itu kelihatan kaedah perhimpunan itu tidak mendapat persetujuan. Mengapakah mereka tidak menyatakannya lebih awal?

Malah, Pemuda PAS Kedah dan Pahang membuat kenyataan yang lebih keras apabila menyatakan bahawa "kehadiran ahli Pemuda PAS beramai-ramai ke perhimpunan itu adalah untuk ditipu oleh penganjur Protes dan kesengsaraan rakyat akibat kenaikan harga minyak dan barangan telah dipermainkan."

Pemuda PAS Pahang seterusnya mendesak jawatankuasa Protes meletakkan jawatan dan bertanggungjawab atas aksi "tunjuk punggung" di pentas stadium Kelana Jaya.

Persoalan yang muncul daripada adegan "melondeh seluar" ini nampaknya lebih besar iaitu "adakah PAS dalam Pakatan Rakyat sekadar melukut di tepi gantang?"

Sekiranya pandangan PAS tidak diambil kira kerana pemimpin Pakatan Rakyat mempunyai agenda yang lebih nasional, maka nampaknya PAS perlu membuat penilaian semula.

Pilihannya mungkin sama ada meningkatkan peranan dan kedudukan mereka dalam kerjasama Pakatan Rakyat, atau keluar menjadi entiti tersendiri sebagaimana kedudukan mereka selepas pilihanraya 1999 (apabila DAP meninggalkan Barisan Alternatif).

Pilihan lain ialah mencari gabungan lain yang lebih sesuai dan lebih dekat dengan objektif perjuangan PAS. Mungkinkah penggabungan dengan Umno kerana ternyata perjuangan DAP dan PKR terlalu jauh untuk digapai oleh PAS.

Ambil sahaja adegan londeh seluar sebagai contoh. Menjemput kumpulan underground bawah urus setia Hishamuddin Rais untuk membuat persembahan sudah semestinya tidak bawah kawalan PAS yang menginginkan seumpama persembahan kumpulan nasyid Raihan atau Akil Hayy yang lebih menggambarkan citarasa parti itu.

Sekali pun Hishamuddin hampir menangis dengan kejadian tersebut, kejadian ini bukanlah berlaku secara kebetulan.

Malah, ketua kumpulan Carburetor Dung menyatakan bahawa telah lima tahun mereka membuat persembahan melondeh seluar dalam pertunjukan underground mereka.

Hakikat yang tersirat ialah, PKR mahukan sebuah persembahan yang mencerminkan unsur "kebebasan anak muda" yang menjadi simbol bahawa PKR meraikan anak-anak muda, sedangkan PAS tetap dianggap parti konservatif yang ingin mengekalkan nilai-nilai murni dan kebebasan yang dibatasi nilai-nilai Islam.

Kritikan yang lebih berhemah dan bersimpati kepada dilema PAS dibuat oleh Abdul Rahman Koya dalam laman Malaysiakini baru-baru ini.

Komentar beliau bertajuk Lessons for PAS in Democratic Politics sempena 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di lima negeri menyebut bahawa "PAS may be the biggest loser in terms of sacrificing its commitment and identity so as not to offend the sensitivities of its fellow coalition members."

Menurutnya lagi, sekalipun PAS dianggap "king maker", namun disebabkan kegagalannya mengawal permainan dalam Pakatan Rakyat menyebabkan parti itu terpaksa melupakan objektif utama kewujudannya.

Kini, pilihan terletak di tangan PAS, sebuah parti yang dianggap paling teguh dan berpotensi berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Apakah mereka akan meneruskan corak permainan sekarang yang sebagai underdog dalam kerjasama longgar itu atau cuba menguasai padang dengan menjadi penentu aliran masa depan Pakatan, sesuai dengan kekuatan sokongan yang ada padanya.

www.malaysiakini.com