KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilepaskan dengan jaminan polis hari ini, perlu melapor diri ke Ibu Pejabat
Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 18 Ogos ini, kata isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata suaminya telah pulang ke rumah mereka di Segambut Dalam di sini.
"Beliau kembali dalam keadaan amat letih dan lesu dan kami telah memanggil doktor dan beliau (doktor) telah memberikan suntikan kepadanya," katanya.
Dr. Wan Azizah yang juga ketua pembangkang dan anggota Parlimen Pematang Pauh berkata suaminya memberikan kerjasama penuh dan keterangan mengenai kes liwat yang dihadapinya.
Beliau berkata Anwar akan mengadakan sidang media hari ini di kediamannya di Segambut Dalam untuk memperjelaskan mengenai penahanan beliau.
Anwar ditahan pada 1 tengah hari semalam oleh sepasukan anggota polis yang menaiki tiga kenderaan, 50 meter dari rumahnya di Segambut, bagi mengambil keterangan daripadanya berhubung dakwaan kes liwat.
Bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohamad Saiful kerana membuat laporan berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lepas, yang didakwa oleh Anwar sebagai palsu.
Pagi tadi, Anwar dilihat meninggalkan perkarangan IPK pada 9.45 pagi melalui pintu pagar belakang yang menghala ke Jalan Hang Tuah dengan menaiki kereta pacuan empat roda warna hitam.
Beliau dilihat melambai tangan dari dalam keretanya ke arah petugas media yang cuba mengejar kenderaan beliau. BERNAMA