KUALA LUMPUR: Selepas ditahan polis lebih 18 jam Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibebaskan atas jaminan polis tetapi perlu menemui polis untuk memberi keterangan bulan depan.
Beliau dibebaskan kira-kira 9.40 pagi tadi.
Tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap Anwar hari ini.
Pada 18 Ogos ini, Anwar akan kembali memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 pagi.
Dalam sidang akhbar di Bukit Aman, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menjalankan ujian DNA ke atas Anwar.
Anwar yang mengadakan sidang media hampir pada waktu yang sama iaitu kira-kira 2.30 petang di kediamannya di Bukit Segambut pula memberitahu, beliau hanya memberikan sampel untuk ujian DNA jika diarahkan berbuat demikian.
Terdahulu pada pukul 9.45 pagi, Anwar keluar dari IPK melalui pintu belakang dan meninggalkan premis itu dengan kereta pacuan empat roda warna hitam yang dinaiki isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menuju ke rumahnya di Bukit Segambut.
Anwar dilihat melambai tangan dari dalam keretanya ke arah petugas media yang cuba mengejar kenderaan beliau.
Semalam Naib Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mendapatkan jaminan keselamatan.
Abdullah memberi jaminan insiden mata lebam 1998 tidak akan berulang.
Seorang lagi peguam Anwar, R.Sivarasa, berkata Ketua Umum Pakatan Rakyat itu ditahan sepanjang malam dalam lokap kecuali ketika keterangannya diambil.
Sehingga dibebaskan, pihak polis masih terus mengambil keterangan daripada Anwar bagi membantu siasatan dalam kes itu, katanya.
Anwar ditahan pada 1 tengah hari semalam oleh sepasukan anggota polis yang menaiki tiga kenderaan, 50 meter dari rumahnya di Segambut.
Bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohamad Saiful kerana membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lalu.
Turut serta mengiringi Anwar adalah kereta yang dinaiki oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Kira-kira 35 minit kemudian, beliau tiba di rumahnya sambil ditemani oleh anak-anak dan isterinya.
Menurut peguamnya, Sankara, Anwar mengadu sakit belakang disebabkan tidur di atas lantai ketika ditahan reman sepanjang malam tadi.
Oleh itu, beliau akan menerima rawatan doktor di rumahnya.
Anwar dijangka akan membuat sidang media pada pukul 2 petang ini di rumahnya.
Difahamkan sebelum Anwar dibebaskan beliau telah diambil keterangan, susulan proses semalam.
Kira-kira 45 minit kemudian, peguamnya, Sivarasa Rasiah tiba di IPK.
Sementara Sankara pula tiba pada pukul 8.50 pagi.
Katanya, salah seorang pegawai penyiasat polis menelefon beliau untuk memaklumkan bahawa Anwar akan dibebaskan atas jaminan polis hari ini sejurus selesai memberikan keterangan kepada polis
Pasukan peguam Anwar telah mencuba untuk membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan atas jaminan polis sehingga tengah malam tadi.
Menurut Sankara, pegawai penyiasat itu juga berjanji kepada beliau di mana tahanan reman terhadap Anwar tidak akan dilanjutkan.
Turut serta adalah peguamnya yang ketiga iaitu Saiful Izham.
Pada pukul 9.30 pagi, isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di IPKKL bersama tiga orang anaknya termasuk Nurul Izzah.
www.mstar.com.my