Wednesday, July 9, 2008

Dakwaan liwat: Anwar rujuk Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan

PETALING JAYA: Kes fitnah dakwaan liwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dirujuk ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pagi ini.

Menurut satu sumber dari parti tersebut, kes dakwaan liwat terbaru terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan dirujuk kepada Mahkamah Syariah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

"Sekiranya ada enakmen yang boleh membicarakan kes yang sedemikian di Mahkamah Syariah, seharusnya kes itu di adili secara hukum Islam dan kita alu-alukan," kata sumber itu lagi.

"Apapun kita perlu mengkaji dulu samada Mahkamah Syariah kita ada peruntukan sedemikian untuk membiacra kes liwat. Kalau betul ikut prosedur, dipersilakan kemukakan empat orang saksi yang adil oleh pihak penuduh. Kalau tidak kes berkenaan itu besar kemungkinan akan ditarik balik dan dibuang," jelas sumber itu.

Sebelum ini, seorang ulama dari dunia Islam telah menasihatkan bahawa kes Anwar itu memerlukan pihak menuduh untuk membawa empat orang saksi yang telus dan adil bagi membuktikan tuduhan.

Kata sumber itu lagi, "Kesediaan Anwar ingin merujuk kes ini kepada Mahkamah Syariah mengikut hukum syarak untuk membuktikan bahawa beliau tidak bersalah."

Difahamkan KeADILan mengambil tindakan sedemikian setelah dinasihati ulama luar negara dan Mufti Perak, Datuk Seri Haji Harussaini Zakaria supaya jangan dilakukan bermubahalah (sumpah laknat) bersabit dengan kes tuduhan dan fitnah liwat sebaliknya harus dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz pula berpendapat, isu liwat yang cuba dibabitkan terhadap Anwar sewajarnya diselesaikan mengikut perundangan tanpa membabitkan mana-mana individu sebagai orang tengah.

"Anwar seharusnya diadili di mahkamah secara telus sebelum diminta bersumpah untuk membuktikan dirinya bersih serta tidak melakukan perkara liwat," katanya semalam.

Sebelum ini Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan Mursyidul Am PAS menjadi orang tengah yang akan membawa Anwar dan Mohd Saiful untuk bermubahalah sebagai jalan penyelesaian isu liwat.

Munurut Dr Asri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat terutamanya di kalangan para penyokong PAS dan layak menjadi orang tengah untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Nak jadi orang tengah tu tak boleh tapi sekadar beri pendapat tu boleh. Bersumpah (bermubahalah) ni tindakan terakhir. Sebelum bersumpah tu orang mahkamah tahulah macamana cara nak buat," ujar Nik Aziz.

mstar.com.my