Wednesday, July 9, 2008

Turki bantu Anwar bukan sebab politik - Ali Babacan

KUALA LUMPUR 8 Julai - Keputusan membenarkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki minggu lalu dibuat bukan sebab politik sebaliknya semata-mata atas dasar kemanusiaan, kata Menteri Luarnya, Ali Babacan.

Beliau menjelaskan Anwar sebenarnya berlindung di kediaman duta dan bukannya kedutaan negara itu seperti yang dilaporkan oleh media.

"Tidak ada aspek politik berhubung dengannya. Ia 100 peratus atas dasar kemanusiaan. Isu berkenaan telah diselesaikan, kini ia telah dilupakan," katanya kepada pemberita semasa Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) di sini hari ini.

Menurut Babacan, Anwar yang membuat permohonan kepada kedutaan di sini untuk mendapatkan perlindungan, atas alasan bimbang dengan keselamatannya.

"Duta kami di sini membuka rumahnya kepada beliau (Anwar), beliau tinggal di rumah duta itu selama 26 jam dan bukan di kedutaan kami.

"Apabila dia (Anwar) rasa selesa, dia sendiri yang membuat keputusan untuk meninggalkan rumah duta itu," tambah beliau.

Anwar memohon perlindungan daripada kedutaan Turki di Jalan Ampang di sini pada 30 Jun lalu, setelah mendakwa beliau menerima ancaman bunuh selepas laporan dakwaan liwat yang dikemukakan oleh pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

www.utusan.com.my