Oleh Agendadaily, Bernama
PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad malam umum dalam ucapannya di depan 30,000 orang di Stadium Kelana Jaya beliau sedia sertai debat anjuran Agendadaily dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Katanya pada Himpunan Sejuta Orang anjuran Protes bagi membantah kenaikan harga minyak, kalau boleh beliau nak berdebat dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri atau dengan setengah kabinet sekali pun tak apa.
Debat dibawah tajuk 'Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak' yang dicadang disiarkan secara live di televisyen itu akan diadakan pada malam 15 Julai ini di Dewan Bahasa dan Pustaka, KL.
Ahmad Shabery sebelum ini telah menyatakan persetujuannya untuk berdepan dengan Anwar dalam debat itu.
Ini adalah kali pertama debat sesuatu isu negara antara dua tokoh pembangkang dan kerajaan akan disiarkan secara langsung di televisyen.
Sementara itu Bernama melaporkan, walaupun tidak berpuas hati kerana permintaannya mahu berdebat dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mengenai harga minyak tidak dipenuhi, Anwar berkata debat dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang dijadualkan 15 Julai ini juga memadai.
"Lebih baik debat dengan PM dan TPM, separuh kabinet pun boleh. Ini bukan masalah politik biasa tetapi ini masalah rakyat yang membebankan. Biar dengar betul-betul (cara nak turunkan harga minyak)," katanya.
Perhimpunan Protes
Sekitar 30,000 orang berhimpun hadir pada acara kemuncak Himpunan Sejuta Orang anjuran Protes di Stadium Kelana Jaya Ahad malam. Selain Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berucap ialah orang kuat DAP, Lim Kit Siang.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dikatakan akan hadir pada acara itu tidak hadir.
Macam Jom Heboh TV3
Suasana di himpunan yang dinaungi oleh parti-parti pembangkang dan beberapa NGO untuk membantah kenaikan harga minyak itu adalah seperti karnival Jom Heboh.
Ada gerai jual macam-macam dan sebagainya.Kehadiran orangramai sepanjang ia bermula dari jam 10 pagi pasang surut. Pada sebelah awal tengahari ada sekitar 5,000 orang di kawasan stadium.
Waktu itu dipercayai melihat tidak ramai orang,pihak penganjur telah buat pengumuman meminta hadirin keluarkan telefon bimbit mereka dan sms segera rakan-rakan mereka ajak ke situ.
Tidak nampak sebarang kehadiran polis yang ramai di kawasan sekitar stadium.
Kecoh penyanyi rock tunjuk punggung
Sementara itu pada jam 7 malam berlaku kekecohan sekejap bila seorang penyanyi rock yang buat persembahan diselang seli ucapan-ucapan telah tonggeng bontot pada para hadirin.
Ramai yang marah dan baling botol air mineral. Ada juga yang nak naik pentas pukul dia. Penganjur terpaksa bergegas kawal keadaan.
Jawab Syed Hamid
Beliau mencabar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya membuktikan tuduhan bahawa beliau menghubungi kerajaan Amerika Syarikat berhubung amaran daripada Jabatan Negara negara berkenaan yang menolak segala tuduhan dan siasatan ke atasnya yang bermotifkan politik.
"Sekiranya ada bukti saya hubungi atau ada surat kepada mereka, saya sanggup didakwa... buktikan dan jika tidak saya akan saman," katanya.