Monday, July 7, 2008

Majalah politik terbaru


Sebuah majalah politik terbaru terbit dalam kehangatan politik negara khususnya tuduh-menuduh antara penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Politik Umno juga semakin hangat menjelang pemilihan jawatan tertinggi parti dalam perhimpunan agung Disember depan

Suara Baru diterbitkan oleh Suara Media Sdn Bhd merupakan majalah bulanan berteraskan politik dan isu semasa mula menemui pembaca sejak beberapa hari lalu.

Majalah itu menggunakan moto 'kreatif, konstruktif dan kritis' - yang dipercayai mempunyai hubungan dengan pemimpin Umno - mengandungi 84 muka surat dan dijual dengan harga RM6 senaskhah untuk Semenanjung dan RM7 di Sabah dan Sarawak.

Wartawan veteran Zainal Epi merupakan ketua editor Suara Baru dan dibantu oleh bekas wartawan Suara Keadilan dan Agenda Daily, Helme Hanafi sebagai editor.

Majalah itu mempunyai dua wartawan iaitu Azman Mohd Nawi dan Nurul Faidzah Ab Hadi.

Fokus utama kadungan berita untuk keluaran sulung ialah mengenai penulis blog yang dikatakan boleh menentukan masa depan negara.

Beberapa penulis blog terkenal termasuk Ahiruddin Atan, lebih dikenali sebagai Rocky, dan Nuraina A Samad diwawancara untuk terbitan sulung ini.

Rocky, bekas editor Malay Mail, yang juga penasihat kelab akhbar nasional mempunyai laman blog sendiri iaitu Rocky's Bru dan blog Nuraina pula 3540 Jalan Sudin.

Selain itu, Suara Baru juga memuatkan berita mengenai politik negara khususnya rencana mengenai Anwar, wawancara dengan ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin dan bekas setiausaha AMK Selangor Mohd Nazmi Rosli.

Zainal dihubungi hari ini berkata, Suara Baru diterbitkan untuk menjadi platform kepada rakyat biasa mengenai isu masyarakat dan politik yang terkini.

"Isu politik menjadi keutamaan kerana ia boleh membuka minda kepada isu-isu lain," katanya yang pernah bertugas sebagai wartawan The Star dan syarikat televisyen NTV7 sebelum menyertai Suara Baru beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, jumlah cetakan untuk keluaran pertama 20,000 untuk pasaran di seluruh negara.

Katanya, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan kerana pembaca ingin tahu perkembagan terbaru politik dan isu-isu lain dalam masyarakat.

Malaysiakini