Thursday, July 17, 2008

Gagal dapat DNA Anwar, polis cari bukti lain

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kerjasama kepada pihak polis menyebabkan polis perlu mencari bukti-bukti lain untuk melengkapkan siasatan.

Ditanya kemungkinan pihak polis menggunakan menggunakan ruang perundangan yang ada untuk mendapatkan contoh DNA Anwar, Ismail berkata:

“Polis mungkin akan meggunakan ruang perundangan seperti mahkamah untuk mendapatkan DNA suspek.

"Kemungkinan perkara itu berlaku akan diputuskan sebaik sahaja polis melengkapkan siasatan," kata Ismail.

Menurut beliau, pegawai penyiasat polis menahan Anwar mengikut prosedur biasa penyiasatan dengan merakamkan keterangan daripada suspek (Anwar) dan pemeriksaan kesihatan di HKL.

“Dalam siasatan ini pegawai penyiasat telah meminta sampel darah Anwar untuk menjalankan ujian DNA. Malangnya, Datuk Seri Anwar enggan bekerjasama dengan pihak polis untuk memberi sampel darah yang diminta.

“Saya difahamkan di hospital juga Anwar enggan bekerjasama dengan doktor terbabit untuk mendapatkan sampel darah beliau,” kata Ismail dalam satu sidang media kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Ketika ditanya, mengapa polis tidak menggunakan DNA Anwar pada 1998, Ismail berkata kes tersebut berbeza dengan kes ini dan beliau enggan mengulas lanjut.

Jelasnya, dalam kes liwat adalah penting untuk mendapatkan sampel DNA daripada suspek dan mereka yang terlibat dalam kes tersebut.

Selepas menjalani ujian pemeriksaan di HKL dan proses soal siasat, polis memutuskan untuk membebaskan Anwar pada jam 9:30 pagi tadi.

Menurut Ismail, Anwar diberi tarikh sesuai untuk memberi keterangan lanjut mengenai kes liwatnya.

Tambahnya, penahanan Anwar dibuat mengikut lunas undang-undang negara ini.

"Setiap langkah yang diambil dalam penyiasatan kes ini adalah mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada di negara ini,'' katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai layanan terhadap Anwar, beliau berkata:

“Anwar diberi layanan baik semasa dalam tahanan. Beliau diberi peluang bersama peguamnya semasa keterangan percakapan beliau direkodkan. Isterinya, Datuk Seri Wan Azizah juga dibenarkan menemui beliau pada lewat malam tadi untuk memberi ubat kepadanya.

“Anwar turut diberi makan, bersolat seperti tahanan-tahanan lain. Mereka dilayan secara berhemat tapi kami perlu tegas dalam menjalankan tugas,” kata Ismail.

Beliau turut menasihati orang ramai khususnya penyokong-penyokong Anwar.
agar tidak membuat andaian terburu-buru berhubung kes ini.

Dalam pada itu ketika ditanya mengapa Anwar ditahan lebih awal sedangkan polis memberi tempoh kepadanya sehingga 2 petang semalam.

Beliau menjelaskan penahanan Anwar dibuat lebih awal daripada waktu yang sepatutnya kerana polis bimbang beliau tidak hadir untuk memberi keterangan.

"Polis bimbang apabila Anwar mengikut jalan lain dan terus pulang ke rumahnya. Perkara tersebut mengakibatkan polis menahan beliau berhampiran rumahnya pada petang semalam," ujarnya.

Mengulas kaedah pasukan khas polis menyerbu Anwar di pinggir jalan dekat rumahnya di Segambut Dalam.

Beliau berkata tindakan itu "satu prosedur biasa" dan "polis risau apabila Anwar mengikuti jalan lain" selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya pagi semalam.

Tegasnya, kehadiran polis bertopeng dalam pasukan yang menangkap Anwar semalam "perkara biasa" kerana banyak faktor telah diambilkira.

Menurut Ismail, tidak semua anggota polis yang hadir di situ memakai topeng.

Tegasnya tiada apa-apa motif berhubung penahanan beliau.

"Pihak polis hanya mahu mendapatkan keterangan daripada beliau (Anwar)," katanya.

Ditanya mengenai jumlah saksi yang memberi keterangan dalam kes tersebut, Ismail berkata terdapat beberapa orang saksi yang telah memberi keterangan dalam kes tersebut.

Namun beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

www.mstar.com.my