Sunday, July 13, 2008

Jangan sekadar berbicara, unjurkan bukti – Tian Chua kepada Ezam

Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua membalas kenyataan ahli baru Umno, Ezam Md Noor, yang mengancam untuk mendedahkan rahsia-rahsia sulit Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim sekiranya dia dikaitkan dalam konspirasi sodomi.


Kata Tian Chua, sekiranya bekas Pengerusi Gerakan Demokrasi & Anti-Korupsi (Gerak) itu tekad membasmi rasuah sepertimana yang diikrarkannya dahulu, Ezam tidak seharusnya menyimpan bukti penyelewengan mana-mana pemimpin politik.


“Sekiranya seseorang itu mempunyai bukti rasuah atau salahlaku, mengapa perlu disembunyikan? Jadi saya persoalkan, mengapa perlu tunggu adanya pertuduhan terhadapnya baru mahu bongkar sesuatu? Sekiranya sungguh Ezam Md Noor ada bukti Anwar Ibrahim menyeleweng – jangan tunggu, jangan tangguh – dedahkan sekarang juga,” tegas Tian Chua.


Ezam, yang menyertai Umno semula baru-baru ini dengan sokongan kuat Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, membuat amaran sedemikian di suatu majlis anjuran Umno dan badan bukan kerajaan Alam Free Speech di Shah Alam 12 Julai lalu.


Lapor Bernama, Ezam memberi amaran sekiranya Anwar Ibrahim mahupun Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengaitkannya sebagai sebahagian dari sebuah konspirasi, beliau akan membongkar semua ‘rahsia’ yang dia tahu meskipun pendedahan itu akan membawa malu kepada anak-anak dan keluarga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu.


Ezam juga menambah Anwar seharusnya tumpu kepada laporan sodomi yang dibuat kepada bekas pembantu Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, dan bukan mengenai konspirasi politik.


Mengulas dengan lebih lanjut, Tian Chua berkata persoalan samada Ezam terbabit atau tidak dalam pertuduhan sodomi ini bergantung kepada siasatan polis dan Jabatan Peguam Negara, berdasarkan kepada testimoni yang disediakan oleh yang menuduh.


“Anwar sehingga kini tidak menyebut apa-apa mengenai pembabitan Ezam Md Noor dalam konspirasi ini. Mengapa beliau harus melatah?,” soal Tian Chua.


Mengapa Ezam Pertahan Najib?


Tian Chua, yang juga regu reformasi Ezam di era 1998, turut menyatakan kekesalannya dengan sikap Ezam, menuduh Anwar telah memperbesarkan konspirasi sodomi ini dengan mengaitkan Timbalan Perdana Menteri Najib Razak dan Altantuya Shaariibuu.


Lapor Malaysiakini, Ezam berkata demikian di majlis yang sama, dan merujuk kepada Akuan Bersumpah P Balasubramaniam. Akuan tersebut mendedahkan Najib bukan sahaja kenal dengan mangsa, bahkan juga pernah menyetubuhi ibu beranak dua itu.


Menurut penyiasat persendirian itu lagi, Altantuya mengizinkan dirinya diliwat oleh Timbalan Presiden Umno itu.


P Balasubramaniam, adalah bekas polis Cawangan Khas, dan diupah Abdul Razak Baginda memantau pergerakan Altantuya. Mangsa dibunuh oleh dua pegawai pengiring Najib – Azilah Hadri dan Sirul Azhar – pada malam Ramadhan 2006.


“Anwar Ibrahim, tidak menuduh Najib, tetapi sebaliknya beliau menyeru pihak berkuasa supaya menyiasat Akuan Bersumpah ini kerana ia mengisi ruang-ruang kosong dalam siasatan kes pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu,” kata Tian Chua.

www.suarakeadilan.com