Monday, July 14, 2008

Anwar disiasat, forum debat drama 'panas' baru minggu depan?

PETALING JAYA: Selepas 10 hari pertama bulan ini yang penuh dramatik, orang ramai khususnya peminat-peminat politik bakal dihidangkan dengan drama-drama baru yang lebih panas minggu depan ataupun sepanjang baki dua minggu akan datang?

Negara telah dihidangkan dengan urutan perkembangan politik yang menarik, mengecewakan, dramatis dan pahit sejak 8 Mac lalu - sejak hari pengundian pilihan raya umum ke-12.

Selepas 100 hari pertama pascapilihan raya umum, pada 10 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan yang beliau akan menyerahkan jawatan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Dengan itu tarikh pelan peralihan kuasa telah ditetapkan. Menjelang Jun 2010, Najib akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam jika tiada sebarang halangan.

Petang esok, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhadapan dengan tuduhan terbaru kes liwat akan disiasat polis. Sudah tentu perkembangan itu dinantikan ramai dengan penuh minat dan debaran.

Ia juga bakal menentukan masa depan kerjaya politik beliau, yang seolah-olah mendapat nafas baru selepas pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu dengan dilantik sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat. Pembangkang melabelkan beliau sebagai bakal Perdana Menteri.

Justeru, negara mempunyai dua bakal Perdana Menteri - Najib dan Anwar.

Kedua-dua mereka menjadi tumpuan dalam isu 'perang akuan bersumpah' - yang dikeluarkan oleh penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, yang menjadi misteri setelah hilang sejak lebih seminggu, berhubung isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Pada hari Abdullah mengumumkan tarikh kuat kuasa pelan peralihan kuasa dan ketika Majlis Tertinggi Umno membincangkan pendirian Abdullah itu, Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, mengemukakan notis usul tidak percaya terhadap Abdullah.

Ketika ramai menganggap bahawa usul itu yang tiada kesan pengundian akan menguji populariti Abdullah, ia juga bakal menjadi ukuran populariti Dr. Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang dan Pakatan Rakyat pada umumnya.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan memutuskan sama ada ia perlu diluluskan untuk perbahasan ataupun sebaliknya.

Dr Wan Azizah berkata, usul itu dikemukakan ekoran langkah kerajaan menaikkan harga minyak baru-baru ini sungguhpun sebelum pilihan raya umum ke-12 kerajaan telah berjanji untuk tidak menaikkan harga bahan api itu.

Polis pula telah mempertingkatkan kawalan keselamatan di Lembah Klang khususnya di kawasan sekitar bangunan Parlimen ekoran desas-desus bahawa akan diadakan demonstrasi berhubung kenaikan harga minyak esok.

Seperti dulu, polis mendapatkan perintah larangan berhimpun dengan menamakan Anwar dan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun Anwar menafikan beliau terlibat menganjurkan perhimpunan seumpama itu esok.

Dalam pada itu, isu Balasubramaniam yang berada di sebuah negara selepas dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lalu masih mendapat perhatian.

Yang terbaru rumahnya di Rawang, Selangor dilaporkan sudah dipecah masuk oleh pihak tertentu.

Justeru, adakah beliau akan kembali ke tanah air untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Sehari selepas Abdullah mengumumkan pelan peralihan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung laporan polis yang dibuat oleh Anwar.

Pada 1 Julai lalu, Anwar membuat laporan yang antara lain mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat dalam pemalsuan keterangan membabitkan kes beliau dipukul pada 27 September 1998 oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Pada 9 Julai lalu, Anwar yang enggan menyahut cabaran bekas pembantu khasnya supaya melakukan sumpah mubahalah berhubung tuduhan liwat terhadapnya, hari ini mengadu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bahawa beliau telah difitnah oleh bekas pekerjanya itu.

Kata Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, beliau membuat aduan berhubung perkara tersebut kepada Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasaan JAWI supaya menyiasat tuduhan tersebut mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

Bekas pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan, 23, telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Travers di sini pada 28 Jun lepas bahawa beliau diliwat oleh majikannya dan dilaporkan sanggup melakukan sumpah mubahalah berhubung tuduhan tersebut.

Di sebalik perkembangan itu. Anwar akan berdepan dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada Selasa ini dalam forum berdebat isu kenaikan harga minya. Anwar mahu memberi petua menurunkan harga minyak.

Apakah ia boleh dilakukan? Anwar mampu berbuat demikian dalam forum yang akan disiarkan secara langsung.

Ia dianjurkan oleh laman web berita Agendadaily dan akan disiarkan secara langsung.

Ketua Pengarang Agendadaily, Rosli Ismail berkata, forum berdebat hanya akan membincangkan isu harga minyak semata-mata dan kedua-dua pemidato tidak dibenarkan menyentuh isu politik semasa.

Nampaknya kita mempunyai banyak lagi isu menarik untuk diikuti. Negara tidak kehausan isu kali ini.

mstar.com.my