Dalam kekalutan krisis kewangan terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat, dunia secara amnya beransur-ansur merasai kesan kejatuhan ekonomi yang berpunca dari kegagalan sistem kapitalis barat yang menjadi tunjang utama ekonomi di negara tersebut. Dek kerana ingin mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda, akhirnya bank-bank di Amerika disytihar bankrup akibat peminjam-peminjam yang tidak dapat melangsaikan hutang dan faedah yang dikenakan pihak bank lalu bank terpaksa ditutup apabila mengalami kerugian dan ramai yang kehilangan pekerjaan.
Malaysia juga turut berdepan dengan krisis ini walaupun pada mata kasar, rata-rata penduduk di Malaysia masih boleh hidup dengan selesa namun lama-kelamaan, tekanan daripada krisis kewangan global ini akan turut dirasai oleh rakyat Malaysia khususnya rakyat marhaen yang berpendapatan rendah.
Manusia seringkali terlupa bahawa Allah SWT telah berfirman bahawa terdapat satu perniagaan yang menjanjikan pulangan lebih hebat daripada apa yang mereka perolehi iaitu perniagaan yang mampu menyelamatkan umat manusia daripada disentuh api neraka pada hari kiamat nanti.
Allah SWT memberitahu dalam ayat 10-13 daripada surah as-Soff yang bermaksud: “ Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku (Allah) tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”
“ Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
“ (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga `Adn, itulah kemenangan yang besar.”
“ Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.”
Justeru, bermodalkan keimanan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta berjuang menegakkan Islam sahajalah menjadi ukuran kepada manusia bagi mendapatkan tempat yang baik bersama golongan para Nabi, Siddiqin (yang membenarkan Islam), syuhada (orang-orang yang mati syahid) dan orang-orang yang salih, Amin. Kehidupan di dunia hanyalah sementara, kehidupan di akhirat akan kekal selama-lamanya.