Sunday, July 6, 2008

Dakwaan meliwat: 18 disiasat Anwar enggan jawab syor bersumpah

KUALA LUMPUR: Ketika dakwaan meliwat terbaru yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk minggu kedua, polis telah menyoal siasat seramai 18 orang berhubung isu tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin berkata, 18 orang itu termasuklah doktor yang telah memeriksa bekas pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Polis masih dalam proses mengenal pasti saki baki beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kes ini dan mereka akan dipanggil dalam tempoh yang terdekat bagi membantu siasatan," kata Bakri di sini hari ini.

Ditanya bila polis akan mengambil keterangan daripada Anwar, beliau berkata: "Semuanya terpulang kepada hasil siasatan polis."

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377c Kanun Keseksaan iaitu hubungan seks tanpa kerelaan.

Sehubungan itu, Bakri meminta saksi supaya jangan sengaja mengelak daripada memberikan kerjasama kepada polis untuk dirakamkan percakapan mereka.

Menurut beliau, perintah mahkamah akan dikeluarkan sekiranya individu tersebut gagal menghadirkan diri pada tarikh dan masa yang ditetapkan oleh polis.

Bakri juga berkata, polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan seadil-adilnya tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

"Kes ini akan disiasat dengan adil. Kita akan kumpul seberapa banyak maklumat termasuk ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan siapa di pihak yang benar," katanya.

Saiful dalam laporan yang dibuat di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur 28 Jun lepas, mendakwa Anwar meliwatnya di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih dekat sini beberapa kali sekitar bulan lalu.

Dalam pada itu di BUTTERWORTH, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) enggan menjawab soalan media berkenaan cabaran supaya beliau bersumpah dengan menjunjung al-Quran bagi mempertahankan dirinya dalam isu berkenaan.

Ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ceramah perdana di sini malam tadi, beliau yang dikawal ketat oleh beberapa penyokongnya terus berlalu tanpa menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Baru-baru ini, Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat iaitu Anwar dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan supaya 'bermubahalah' atau bersumpah.

Beliau berkata isu liwat itu kini sudah menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.

Katanya, Anwar dan Mohd Saiful hendaklah bersumpah laknat iaitu dengan melafazkan sumpah: "Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya."

Pandangan yang sama juga diberikan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria yang meminta supaya bersumpah dilakukan jika tiada bukti.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berpendapat "mubahalah" atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.

Terdahulu, ketika memulakan ucapannya, Anwar menegaskan bahawa beliau sudah jemu bercakap dan mengulas berhubung tuduhan liwat terhadapnya.

"Seminggu yang lepas, kita telah dikejutkan dengan kisah itu (tuduhan liwat) dan saya tak nak, menyampah dan meluat dengan cerita kotor itu. Saya pernah dituduh dengan tuduhan yang sama dulu. Tuduhan daripada mereka yang kecewa dengan politik," kata Anwar dipetik Bernama.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mencabar kerajaan membuktikan bahawa beliau ada berhubung dengan wakil dari kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk meminta bantuan daripada negara itu.

Kata Anwar, sekiranya kerajaan mempunyai bukti bahawa beliau ada berbuat demikian Ketua Umum Pakatan Rakyat itu sedia untuk tampil ke mahkamah.

"Saya tidak buat panggilan, saya tidak menulis surat dan (isterinya Datin Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) sendiri pun tidak menghubungi mana-mana pihak dari kerajaan AS. Tetapi ada beberapa pemimpin Islam dari luar negara yang menghubungi saya dan meminta saya bersabar serta mereka mendoakan keselamatan saya.

"Saya sudah beritahu saya akan hadapi perkara ini, kalau mereka (kerajaan) ada bukti, bawalah saya ke mahkamah. Saya bersedia," kata beliau dalam ceramah perdananya.

mstar.com.my