Tuesday, July 8, 2008

Ezam ada pendedahan baru jatuhkan Pakatan Rakyat?

PETALING JAYA: Mohamad Ezam Mohd. Nor mungkin mengetengahkan pendedahan-pendedahan terbaru?

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini, yang kembali ke pangkuan Umno lima bulan lalu, tidak menolak kemungkinan ke arah itu -bakal mendedahkan lebih banyak kes salah guna dan rasuah membabitkan Pakatan Rakyat.

Kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS diberi nama Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Kata Ezam, beliau mempunyai beberapa kes untuk diumumkan tetapi ia akan dilakukan secara teratur sebaik sahaja mendapat bukti-bukti yang kukuh.

"Saya seorang yang serius dengan fakta (bukti). Ya (akan didedahkan), bergantung pada bukti, kita akan mendedahkannya," kata beliau dalam temu bual khas di sini hari ini.

Selepas kembali Umno, baru-baru ini Ezam mendakwa PKR Selangor telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan lambang Pejabat Menteri Besar pada kepala surat untuk mendapatkan sumbangan daripada syarikat swasta bagi meraikan sambutan 100 hari pentadbiran kerajaan campuran negeri itu.

Sebahagian sumbangan itu kemudian disalurkan ke dalam akaun PKR.

Malah penghujung bulan lalu beliau juga mendedahkan pelantikan adik Anwar Ibrahim, Rusli sebagai penasihat syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Ezam memberitahu, pendedahan buat peringkat ini akan ditumpukan ke atas Selangor semata-mata.

Ketika ditanya sejauh mana Pakatan Rakyat akan dapat bertahan, Ezam berkata, beliau bukan tukang meramal nasib dalam soal itu tetapi mengambil kira perkembangan semasa adalah "sukar bagi Pakatan Rakyat" untuk bertahan.

Kata beliau, kedudukan Pakatan Rakyat juga kemungkinan menjadi tanda tanya selepas tarikh sasaran 16 September yang ditetapkan oleh Anwar untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Beliau juga tidak yakin bahawa Anwar dan Pakatan Rakyat akan mencapai sasaran tersebut.

Anwar kini berhadapan dengan isu dakwaan meliwat bekas pembantu khasnya.

Ketika ditanya apakah mesej yang akan disampaikan jika bertemu Anwar pada bila-bila masa mulai sekarang, Ezam memberitahu: "Saya akan minta beliau menjadi seorang negarawan, menjadi negarawan, dan memiliki sifat-sifat sebagai seorang negarawan."

Kata beliau: "Kita memerlukan seorang pemimpin yang kuat, seorang pemimpin Melayu yang berpengaruh untuk negara ini."

Justeru, tambah Ezam, beliau tidak akan meluangkan masa dan tenaganya untuk mempromosikan Anwar sebagai pemimpin negara ini.

Baru-baru ini beliau menyifatkan Anwar tidak berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Mengenai isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula, Ezam memberitahu, Presiden PKR itu tidak relevan dalam soal kepercayaan kepimpinan.

"Teras ini berkaitan dengan Keadilan dan Anwar Ibrahim," katanya lagi.

Ezam berkhidmat dengan Anwar sejak 1991 dan dilantik sebagai Setiausaha Politiknya lima tahun kemudian.

Beliau dipecat daripada Umno pada 1998 bersama Anwar.

mstar.com.my