Thursday, July 10, 2008

Peguam Anwar pertahan 'qazaf', tempelak Mufti Perlis dan Nik Aziz

PETALING JAYA: Peguam Kamar Ainiah Kamaruzzaman mendakwa cadangan yang dikemukakan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan disokong oleh Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, supaya anak guamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saiful Bukhari Azlan bersumpah adalah salah dan tidak mengikut syarak.

“Ini adalah kesalahan jenayah yang serius. Dalam soal ini sumpah (bermubahalah) tidak boleh diguna pakai seperti mana yang beliau katakan,” katanya kepada mStar Online.

Kamar Ainiah berkata sumpah biasanya digunakan untuk membuktikan pemilikan harta atau hak milik.

“Sumpah juga boleh digunakan oleh pasangan suami isteri iaitu apabila si suami mendakwa bahawa isterinya telah melakukan zina dengan orang lain. Beliau tidak perlu mengemukakan bukti.

“Isterinya juga perlu bersumpah untuk menafikan perkara itu. Namun selepas kedua-duanya bersumpah maka secara langsungnya ikatan perkahwinan mereka akan terputus,” tambah beliau.

Katanya Anwar hanya boleh bersumpah jika bukti-bukti yang dikemukan Saiful tidak kuat dan lemah.

“Saiful boleh kemukakan seberapa banyak saksi, tetapi jika bukti yang diberikan tidak kukuh, maka Anwar akan bebas dari tuduhan.

“Namun selepas itu kesalahan itu akan kembali kepada Saiful,” katanya.

Katanya lagi, dalam kes dakwaan liwat oleh Saiful terhadap Anwar, peruntukan yang harus digunakan ialah ‘qazaf’.

“Qazaf digunakan apabila seseorang itu membuat tuduhan terhadap seseorang, tetapi dia tidak dapat mengemukan bukti melalui empat orang saksi (lelaki beriman) mengikut syarak.

“Jika pendakwa (Saiful) tidak boleh mengemukan saksi mengikut hukum syarak maka kesalahan itu akan dikembalikan kepadanya,” kata Kamar Ainiah.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 jika sabit kesalahan boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5,000.

Ianya merupakan kesalahan dalam hukum hudud di mana seorang penuduh yang terbukti bersalah boleh dikenakan 80 kali sebatan.

Tambah beliau ‘qazaf’ digunakan bagi mengelakkan orang ramai membuat sebarang dakwaan yang boleh menjatuhkan maruah seseorang individu secara sesuka hati.

Ditanya bagaimana seseorang wanita yang dirogol mampu mengemukakan bukti mengikut Syarak, beliau berkata masyarakat harus tahu membezakan antara rogol dan zina.

“Rogol lain, zina lain. Senang jika kita nak buktikan wanita dirogol iaitu melalui keadaan fizikalnya atau kerosakan pada alat sulitnya.

“Zina pula dilakukan dengan rela tanpa paksaan. Kebanyakan kes, wanita yang berzina mendakwa dirinya dirogol setelah mereka hamil, mereka buat laporan setelah beberapa bulan,” terang beliau.

Dalam kes dakwaan liwat Saiful, Kamar Ainiah berkata beliau (Saiful) sepatutnya membuat laporan awal jika beliau benar-benar diliwat.

“Sepatutnya beliau tampil lebih awal. Bukannya setelah ‘diliwat’ beberapa kali seperti yang didakwa,” katanya.

Ditanya bagaimana Saiful mampu mengemukan bukti dia diliwat kerana sudah pasti tiada siapa yang melihat kejadian itu, beliau berkata itu terpulang kepada Saiful untuk buktikannya.

"Dia yang buat dakwaan, jadi dia kena buktikan. Kalau dari awal dia tahu tak dapat kemukakan bukti, lebih baik berdiam diri," katanya.

Beliau juga musykil dan hairan mengapa Saiful sebagai seorang yang muda dan berpelajaran tidak menghalang dirinya daripada ‘diliwat’.

“Kalaulah benar, Saiful sepatutnya bertindak melawan, bukan membiarkan sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai tarikh perbicaraan kes ini, beliau berkata perkara itu terpulang kepada kepantasan pegawai pendakwaraya menjalankan siasatan.

“Hari ini Datuk Seri (Anwar) buat aduan. Kemudian pendakwaraya akan mengambil keterangan daripada Saiful.

“Kemudiannya siasatan akan dilakukan sebelum perbicaraannya dimulakan,” katanya.

mstar.com.my