KOTA BHARU: Berdasar kepada kaji selidik sebelum
pergolakan Umno Sabah melanda, Pakatan Rakyat mensasarkan menguasai
sekurang-kurang 105 kawasan parlimen, yakni kekurangan 7 lagi kerusi
bagi membentuk majoriti mudah.
Namun kata Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli situasi itu tiba-tiba
berubah selepas tsunami politik berlaku dalam Umno Sabah dengan
menyaksikan beberapa wakil rakyat meninggalkan parti itu.
Hujah tersebut disokong pula penganalisis politik Sarawak, Dr Jeniri
Amir yang mengandaikan sekurang-kurang 10 kerusi di Sabah dan Sarawak
sudah berada dalam tangan Pakatan Rakyat seandainya tidak berlaku
pertembungan tiga penjuru.
Rafizi berkata, berdasar kepada perkiraan Dr Jeniri yang mempunyai
kepakaran perkembangan politik di Sabah dan Sarawak bermakna Pakatan
sudah mengatasi BN dengan kelebihan sekurang-kurangnya 8 kerusi.
“Perkiraan ini dibuat bukan secara sekadar syok sendiri sebaliknya
ada asas berdasar kepada beberapa petunjuk termasuk kajian beberapa
badan penyelidik dan perkembangan semasa yang berlaku.
“Kalaulah andaian itu hanya sekadar syok sendiri, sudah tentu sejak
dua bulan lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah membubarkan
parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.
“Namun Perdana Menteri masih lagi teragak-agak kemungkinan besar
laporan daripada perisik Umno dan kerajaan masih memberi isyarat
negetif,” katanya pada Wacana Perdana anjuran Urusetia Peneranan
Kerajaan Negeri di Kelantan Trade Centre (KTC) malam tadi.
Turut bertindak sebagai ahli panel anggota Exco kerajaan negeri,
Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Jeniri dari Unimas, manakala Dr Mazslee
Malek (UIA) bertindak sebagai moderator.
Orang ramai memenuhi dewan konvensyen KTC biar pun pada waktu yang
sama diadakan ceramah di 22 tempat di seluruh Kelantan termasuk di
Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa.
Rafizi yang kemudian menjadi sasaran dihujani pelbagai soalan
daripada penonton juga memberitahu sikap tiada keyakinan diri Perdana
Menteri boleh ditengok kepada sejarah kehidupannya.
Menurutnya, Najib dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika
berusia 26 tahun bagi meneruskan kesinambungan ayahnya Tun Abdul Razak.
Kemudian berusia 29 tahun dilantik pula sebagai menteri kabinet.
“Manakala jawatan Ketua Pemuda Umno disandangnya selepas jawatan itu
dikosongkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini bermakna beliau tidak pernah
melalui cabaran yang sengit bagi mendapat kedudukan dalam parti dan
kerajaan.
“Berdasar kepada pengalaman itu maka tidak hairanlah sekarang Najib
tiada keyakinan diri untuk mengisytiharkan pilihan raya, lebih-lebih
lagi cabaran Pakatan begitu sengit sekali,” ujarnya.
Takiyuddin pula berkata, Najib menunggu masa yang begitu lama bagi
mendapat mandat daripada rakyat setelah menduduki kerusi perdana
menteri, di mana sehingga sekarang lebih tiga tahun berbanding perdana
menteri sebelumnya.
Sedangkan Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil masa empat bulan sahaja
bagi membubarkan parlimen selepas dilantik perdana menteri, begitu juga
Tun Dr Mahathir Mohamad lapan bulan, Tun Hussien Onn kurang dua tahun.
Dr Jeniri mengandaikan kesukaran Pakatan meluas di Sabah dan Sarawak
kerana faktor rakyat tempatan masih mendapat sumber maklumat daripada
televisyen dan radio berbanding sumber alternatif lain.
“Ini dapat dilihat pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas Media
Prima yang mengendali televisyen swasta di negara ini dikerah dengan
bilangan petugas paling ramai bagi membantu kempen BN,” tambahnya.