|
HARGA rumah di bandar raya Kuala Lumpur sekarang dianggap menakutkan. Kondominium One Menerung di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit. Sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua tingkat di Cheras bermula dari harga RM500,000.
Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan lagi merupakan rumah mampu milik khususnya bagi warga kota berpendapatan sederhana iaitu kira-kira RM6,000 sebulan.
Malangnya, bukan ibu negara sahaja yang mengalami kenaikan melambung harga rumah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Malah, kawasan pinggir Lembah Klang seperti Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan Klang menunjukkan trend yang sama.
Tinjauan Jurnal di beberapa lokasi seperti Semenyih mendapati harga rumah teres baharu dengan keluasan 24x70 kaki (7x21 meter) kini mencecah harga RM460,000.
Di Kajang, rumah bersaiz 22x70 kaki berharga RM510,000, Rawang RM288,000 (20x65 kaki), Sungai Buloh RM398,000 (22x75 kaki) dan Klang RM335,000 (24x75 kaki).
Pada umumnya, rumah teres sering menjadi pilihan golongan berpendapatan sederhana kerana saiznya lebih luas serta memiliki laman dan tempat letak kereta yang mesra pengguna.
Malangnya, masih ada satu lagi berita buruk iaitu rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 sebuah menjelang tahun 2020.
Ini berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn. Bhd. (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaharu rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah.
Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan bahawa harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Harga rumah di negara ini akan terus berkembang walaupun berlaku krisis ekonomi,” katanya.
Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu, harga rumah teres di pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di pusat bandar Kuala Lumpur.
Pendapatan
Beliau memberi contoh rumah teres di Taman Tun Dr. Ismail yang kini bernilai RM1.5 juta bakal mencapai harga RM3 juta dalam tempoh lapan tahun lagi.
“Untuk memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020 sekurang-kurangnya sebuah isi rumah perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan.
“Secara purata pendapatan isi rumah sekarang ialah RM6,000 bagi golongan pertengahan. Jika harga rumah naik sekali ganda maka pendapatan isi rumah harus meningkat seiring dengan harga rumah,” terang beliau.
Membeli rumah berharga RM500,000 dengan pendapatan bulanan RM6,000 bukanlah satu tindakan bijak.
Menurut kiraan seorang pegawai bank, andaikan si pembeli meminjam RM400,000 sahaja daripada bank dengan purata kadar faedah enam peratus setahun, peminjam perlu membayar ansuran bulanan sebanyak kira-kira RM2,400 selama 30 tahun.
Ini bermakna peminjam yang membeli rumah teres pada usia 30 tahun hanya akan habis membayar hutang pada usia 60 tahun.
Jika tidak bernasib baik, peminjam tadi mungkin meninggal dunia terlebih dahulu sebelum sempat melangsaikan hutang rumahnya.
Persoalannya, berapa ramaikah orang muda memiliki pendapatan RM6,000 sebulan sekarang?
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kuala Lumpur, NK Tong berkata, pelbagai faktor menyebabkan kenaikan harga hartanah termasuk pengumuman kerajaan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) yang menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang.
“Dengan kemudahan seperti MRT, orang ramai akan mula keluar dari pusat bandar dan bertumpu ke kawasan pinggir Lembah Klang. Sehubungan itu permintaan terhadap rumah akan meningkat,” hujah beliau.
Menabung
Tambah Tong lagi, konsep bina dan jual yang suatu ketika dahulu hangat diperkatakan diramal dilaksanakan pada tahun 2015 dan ia pasti meningkatkan harga rumah.
“Jika konsep itu dilaksanakan, pihak pemaju akan mengehadkan jumlah rumah yang dibina dan ini mengakibatkan terjadi situasi permintaan melebihi penawaran,” jelasnya yang tidak menolak spekulasi turut memainkan peranan rumah dijual pada harga yang lebih tinggi daripada nilai sebenar.
Dalam situasi ini pasangan muda yang ingin memiliki sebuah rumah idaman pada masa hadapan disaran supaya menanam tabiat menabung sekurang-kurang 10 peratus daripada jumlah pendapatan isi rumah.
Mentor kewangan, Azizi Ali berkata, senario sekarang menunjukkan kebanyakan pasangan muda bersikap sebaliknya. Mereka membelanjakan kesemua wang pendapatan dengan harapan akan ada lebihan untuk dijadikan simpanan.
Katanya, apabila menabung dulu sebanyak 10 peratus, pasangan masih mempunyai 90 peratus daripada jumlah pendapatan manakala jumlah hutang tidak boleh melebihi 40 peratus pendapatan.
“Jumlah bayaran untuk kereta tidak patut melebihi 10 peratus atau maksimum 15 peratus,” katanya.
Jelasnya, trend pasangan muda sekarang adalah mereka lebih cenderung memiliki kereta mewah hingga membebankan hutang isi rumah.
“Kita tidak sepatutnya menjadi hamba kepada hutang sendiri dan terpaksa bekerja keras semata-mata untuk melunaskan hutang,” katanya.
Bagaimanapun, kenaikan harga rumah mungkin memberi kebaikan kepada pemilik kediaman sedia ada.
Penjawat awam, Ariffin Ahmad, 30, memberitahu beliau membeli sebuah rumah teres dua tingkat pada penghujung tahun 2009 pada harga RM167,000.
“Tidak sampai setahun saya dan keluarga menetap di kawasan itu, harga rumah saya meningkat hampir sekali ganda menjadi RM288,000.
“Membeli rumah adalah satu pelaburan yang baik untuk jangka masa panjang tetapi saya lihat kini harga rumah yang ditawarkan semakin mahal menyebabkan ramai orang tidak mampu membelinya. Jika ada pun, pasti lokasinya di luar Kuala Lumpur,” katanya.